Sunday, February 20, 2011

Iman & Keyakinan [ Faktor Pengikat ].


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

[Apabila fikiran dan cara berfikir diseimbangkan, tubuh dan jiwa akan mengikuti kemahuan fikiran. Sinergi inilah yang dicari dengan harapan dapat menampilkan kualiti bersolat secara optimal.]

" Takzhim,Haibah,Hudhrul Qalb,Tafahhum,Rajaq & Hayaq "  adalah santapan hati batin sebelum, semasa dan sesudah sembahyang. Keenam perkara yang di sebut itu merupakan sifat-sifat yang menjadikan keperluan hati batin kepada mereka yang mendirikan sembahyang. Pendekatan yang begitu jelas akan ada faktor yang menjadi pengikat kepada sifat-sifat tersebut. Iman dan Yakin atau Keimanan dan Keyakinan adalah faktor pengikatnya.

Wujudnya keimanan yang berkaitan perihal tersebut, ia tidak akan timbul sebarang keraguan di dalam hati ini, maka semakin mendalamlah akan keyakinan diri, pasti hati akan menjadi khusyuk.
Aisyah r.a pernah berkata ;
" Rasulullah s.a.w apabila sedang bercakap-cakap dengan kami, apabila datang waktu sembahyang, seolah-olah baginda tidak mengenali kami dan kami pun tidak mengenali baginda ".

Terdapat riwayat bahawa Allah SWT telah mewahyukan kepada Musa a.s ;
" Wahai Musa, bila menyebut Ku [mengingati Allah SWT], sebutlah Aku sambil tubuh mu gementar. Sebutlah Aku dengan khuysuk dan tenang, dan bila kau menyebut Aku, jadikanlah lidah mu di belakang hati mu. Dan bila kau berdiri di hadapan Aku berdirilah sebagai layaknya seorang hamba yang kerdil dan hina, maka bermunajatlah dengan hati yang cemas dan lidah yang tulus ".

Di Riwayatkan pula bahawa Allah SWT mewahyukan kepada Musa a.s ;
" Katakanlah kepada pelaku maksiat di kalangan umat mu ; janganlah mereka menyebut nama Ku, sebab Aku telah bersumpah dengan diri Ku bahawa barangsiapa menyebut Ku, Aku pun akan menyebutnya. Maka apabila pelaku maksiat menyebut Ku, Aku akan menyebut mereka dengan kutukkan ".

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang menjadikan keperluan hati batin di dalam sembahyang maka dapatlah kita membezakan mereka yang mendirikan sembahyang seperti berikut ;

1.   Mereka yang lalai. Bersembahyang dengan cukup rukunnya, tetapi hatinya tidak hadir dalam sembahyang walaupun sekejap.

2.   Bersembahyang dengan cukup rukunnya, sunatnya dan hatinya sentiasa bersama yang di kerjakan. Ada ketikanya sehingga tidak sedar apa yang berlaku di sekitarnya. Mereka yang bersembahyang berjemaah, tetapi tidak perasan atau kenal jemaah yang di sebelahannya. Telah di riwayatkan bahawa debaran jantung Nabi Ibrahim a.s ketika sedang sembahyang seolah-olah terdengar dalam jarak yang jauh.
Pada masa lampau [abad silam], terdapat mereka yang bersembahyang  dengan wajahnya menjadi pucat dan gementar di sebabkan hati batin mereka itu sangat malu dan takut kepada Yang Maha Penciptanya.

Allah SWT berfirman :

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

 وَلِكُلٍّۢ دَرَجَتٌۭ مِّمَّا عَمِلُوا۟ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : 
Dan masing-masing orang memperoleh darjat-darjat (seimbang) dengan apa yang dikerjakannya. Dan Tuhanmu tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.
( Surah. AL AN'AAM :132 )

Allah SWT akan memandang terus, tertuju kepada hati manusia, bukannya gerak zahir di dalam sembahyang itu. Beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w pernah berkata ;
" Pada hari kiamat manusia akan di kumpulkan mengikut keadaan sepertimana mereka bersembahyang ". Ukuran mengenai perihal ini terjurus kepada ketenangan dan ketenteraman hati batin semasa bersembahyang, seterusnya akan memperolehi serta akan merasa kenikmatan kehidupan sama saperti semasa mendapatkannya ketika [dalam] bersembahyang. Kehidupan di akhirat kelak akan terbentuk sesuai dengan sifat-sifat hati seseorang itu kerana Allah SWT akan menilai pada hati dan bukan pada tubuh mereka.
Hanya yang datang kepada Allah SWT dengan hati bersih [sejernihnya] sahaja yang akan selamat...insyaAllah!


Wallahu a'lam.




No comments:

Post a Comment