Saturday, August 13, 2011

Iman Adalah Tiket Ke Syurga.


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saya teringat satu lirik nasyid dari kumpulan Raihan yang berbunyi:
"Iman adalah mutiara di dalam hati manusia, Yang menyakini Allah Maha Esa Maha Kuasa.....Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli, Ia tiada di tepian pantai...."

Iman adalah sesuatu yang harus dibina dan dipupuk melalui amalan-amalan yang digariskan oleh Islam.

Namun, Iman bukanlah suatu yang mutlak milik kita. Jika kita berkata kita telah banyak beribadat dan beriman kepada Allah SWT maka hendaklah kita selalu ingat bahawa Iman itu tetap akan diuji oleh Allah.

Di dalam bulan Ramadan, membeli juadah untuk berbuka puasa juga adalah ujian tentang keimanan kita. Apakah juadah kita itu sesuatu yang keterlaluan dan membazir?

Begitu juga ucapan-ucapan dan ungkapan-ungkapan kita semasa berpuasa adalah ujian keimanan kita kepada Allah.

Malah jawatan, kuasa dan keluarga yang diamanahkan kepada kita juga menjadi sebahagian daripada ujian Allah tentang keimanan kita.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Ankaboot, ayat 2-3 yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

Hendaklah kita selalu beringat bahawa IMAN ITU BUKAN PERCUMA, IA TIDAK HADIR DENGAN SENDIRI DAN IANYA TETAP AKAN DIUJI DISUATU MASA NANTI.

Apakah kita sudah bersedia dengan kekuatan Iman yang ada?


Best wishes from:

PROF. DR ALIAS ABDULLAH
www.mip.org.my


----------------------------------
"A true conservationist is a man who knows that the world is not given by his fathers but borrowed from his children."