Wednesday, October 12, 2011

PENTINGNYA MEMBEZAKAN MALAM DAN SIANG.


السَّـلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُـه


Apabila manusia tidak dapat membezakan nikmat kehidupan di waktu malam dan siang maka dengan itu mereka semakin jauh dari rahmat Allah SWT.

Waktu siang Allah jadikan ianya cerah dan terang untuk manusia mencari rezeki hidup. Sementara waktu malam pula Allah berikan kepada manusia untuk beristirehat, tidur, menenangkan diri, beriadah bersama keluarga dan beribadah (bersujud) kepada Allah. 

Namun demikian manusia pada hari ini tidak dapat membezakan 'nikmat' kehidupan waktu siang dan malam. Minda mereka kucar-kacir semasa meniti masa kehidupan.

Manusia acap menyalahgunakan ruang masa yang Allah berikan itu sehingga mengundang keruntuhan moral, kecelakaan, musibah, penyakit dan laknat dari Allah SWT. 

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 67 yang bermaksud: "Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya)."

Di bandar-bandar besar pada waktu malam manusia berbendung-bendung mencari kehidupan songsang. 

Mereka berjegil mata dan berjaga malam demi mencari nikmat kehidupan di luar batasan. Mereka bagaikan kelawar yang hanya tidur di waktu siang dan keluar di waktu malam mencari rezeki dan mangsa. 

Sabda Nabi SAW: "Jangan memaksa dirimu berjaga (tidak tidur) pada malam hari kerana kamu tidak mampu melakukannya. Bila seseorang mengantuk maka hendaklah dia tidur di tempat tidurnya sendiri dan itu lebih aman." (HR. Ad-Dailami)

Fahamilah saudara-saudara ku bahawa Allah SWT menjadikan malam untuk kita tidur dan berehat. Sementara siang pula untuk kita mencari rezeki. Pastikan batasan-batasan itu kerana ada hikmah disebaliknya. 

Maaf zahir batin.


Bezanya Malam & Siang

No comments:

Post a Comment